Monday, June 15, 2009

JEJAK PEJUANG 6

Insyaallah aku akan cuba semak dan imbas balik kisah perjuangan Syeikh Fathi Yakan.Kita semua kena sedar bahawa ingat dan kasihkan org2 soleh adalah fikir dan zikir yang terbaik untuk kita semarakkan semangat perjuangan demi agama Allah dan semangat untuk terus beramal kerana Allah.Abu Fateh ade menyebut bahawa tidak mudah untuk kita menggantikan seorang tokoh seperti beliau.Ayuh para sahabat sekalian sahutlah cabaran tersebut selagi hayat dikandung badan selagi itulah kita akan terus menuntut ilmu Allah dan sebarkan dakwah ke seluruh alam.

As Syeikh Fathi Yakan sukarnya mencari penggantimu
oleh:Blog Rantau

Pada hari Sabtu, 13 Jun 2009 saya sedang berada di Dewan Perdana Felda bagi menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengurus Besar tempat saya bertugas. Saya dijadualkan pada malam itu untuk menyampaikan tazkirah kepada seluruh jemputan yang hadir pada malam itu. Kami tiba pada jam 8.00 malam. Baru saja mengambil tempat, saya dikunjungi SMS yang sangat menyedihkan memaklumkan tentang pemergian Asy-Syeikh Fathi Yakan, tokoh ulama' gerakan Islam yang tersohor dari Lubnan mengadap Rabbul Jalil. Saya cukup terkesan kerana rasanya masih baru menziarahi Asy-Syeikh di Tripoli, Lubnan dan beliau pada waktu itu masih aktif dan cergas. Perasaan juga agak bercelaru pada waktu itu. Apatah lagi untuk menyampaikan tazkirah di hadapan VVIP. SMS yang tidak tidak putus-putus. Cukup banyak SMS diterima pada malam tersebut. Ada yang memaklumkan. Ada yang pohon pengesahan. Ada yang meluahkan perasaan kesedihan dan pelbagai lagi reaksi yang diterima. Panggilan juga cukup banyak. Sebahagian sempat yang saya jawab, sebahagian lagi saya gagal untuk menjawab kerana waktu tidak mengizinkan.


Al-Marhum Asy-Syeikh Fathi Yakan

Kesempatan ini, saya ingin rakamkan sedikit imbasan perjuangan Asy-Syeikh Fathi Yakan guna sebagai panduan dan pengukuhan buat semua pendakwah-pendakwah Islam di tanahair.

Kelahiran dan Perkahwinan

Dilahirkan pada 9 Februari 1933 di bandar Tripoli, Lubnan. Membesar di Tripoli dan seterusnya mendapat jodoh bersama Dr.Muna Haddad. Hasil perkahwinan ini, pasangan tokoh pendakwah ini dikurniakan 5 orang anak. 4 orang daripadanya perempuan dan seorang lelaki.

Penglibatan Dalam Gerakan Islam

Nukilan sejarah yang dicatatkan, Asy-Syeikh Fathi Yakan mula melibatkan diri secara serius dalam gerakan Islam setelah melalui pertemuan dengan Asy-Syeikh Mustafa As-Sibaie di bumi Syria.

Penglibatan serius beliau di dalam gerakan Islam dapat dibuktikan melalui penghasilan buku-buku dakwah yang menjadi sumber rujukan utama bagi kebanyakan anggota gerakan Islam di seluruh dunia.

Beliau antara tokoh gerakan Islam yang menentang pilihanraya pada peringkat awal pembabitan dalam gerakan Islam. Meskipun begitu, beliau akur dan akhirnya menerima kepentingan melibatkan diri dalam pilihanraya sebagai satu wadah untuk memartabatkan kembali agama Islam.

Kedudukan Lubnan

Lubnan merupakan syurga dunia buat bangsa Arab yang berada di kawasan Teluk. Wanita mereka merupakan antara wanita tercantik di dunia. Bandaraya Beirut merupakan bandaraya yang sangat merosakkan. Budaya mereka sangat dahsyat. Berada di Beirut cukup meloyakan. Masyarakatnya begitu runtuh akhlaknya.

Tetapi suasana ini agak berbeza di bandar Tripoli. Ketenangan berada di bandar ini cukup dirasai. Walaupun tetap ada unsur-unsur keruntuhan akhlak. Khususnya dalam aspek berpakaian bagi wanita.

Pun begitu, di sini adanya kelainan. Ruh dakwah yang (barangkali) diterapkan oleh salah seorangnya ialah Asy-Syeikh Fathi Yakan benar-benar merubah suasana di bandar Tripoli.

Ertinya, arena dakwah di bumi Lubnan bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Sistem pemerintahannya yang kononnya bersifat majmuk, langsung tidak memberi sebarang manfaat buat ummat Islam di Lubnan.

Beliau pernah dipenjara dan diseksa kerana pengaruh yang kian tersebar dan membimbangkan pihak pemerintah.

Peranan dakwah beliau tidak dimatikan dengan penjara dan seksaan, tetapi dirancakkan pula dengan penulisan buku-buku dakwah. Jasanya bukan sekadar untuk ummat Islam Lubnan, malahan melebar ke seluruh pelusuk dunia.

Asy-Syeikh Yang Dikenali

Semasa berada di bumi Syria, saya berkesempatan mengunjungi Asy-Syeikh Fathi Yakan sebanyak dua kali di rumahnya di Abi Samraa', bersebelahan bangunan Jinan University yang diasaskan oleh beliau.

Beliau seorang yang sangat peramah dan merahmati tetamu yang berkunjung. Apatah lagi, jika mengetahui kami merupakan anak buah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (sekadar meminjam nama). Kami diraikan dengan penuh ceria. Beliau sangat rapat dengan Dato' Seri Tuan Guru Presiden. Jelas pada air mukanya, beliau merindui pertemuan dengan Dato' Seri Tuan Guru Presiden.

Sepanjang pertemuan, beliau seringkali berulang alik dari ruang tamu ke bilik bacaan beliau. Belum lagi kami bertanya, beliau memohon maaf kerana terpaksa berulang alik. Tujuannya ingin catatkan nota atau isi penting yang baru terlintas dalam fikirannya untuk dijadikan bahan penulisan dalam mana-mana bukunya yang bakal diterbitkan.

Wah ! Ini rupanya disiplin penulis tersohor. Begitu jalannya orang yang sibuk. Melihat kepada beliau, rasa diri kita terlalu kerdil dalam perjuangan. Hidupnya sentiasa bersemangat. Aksinya lincah tidak menggambarkan usianya. Perwatakannya sentiasa segar dan berjiwa muda.

Walaupun dirinya tokoh besar dalam dunia gerakan Islam, dirinya cukup tawadhuk dan cepat bermesra dengan anak muda seperti kami.

MasyaAllah ! Kehilangan Asy-Syeikh Fathi Yakan, amat sukar untuk mencari penggantinya.

Dengan umurnya 76 tahun, beliau meninggalkan kita setelah menurunkan ilmu dakwah yang cekap besar kesannya kepada kita semua.

Semoga Allah SWT memilih Asy-Syeikh Fathi Yakan di kalangan pejuang yang telah membenarkan janjinya kepada Allah SWT.

Ya Allah ! Lahirkanlah kami semua sebagai penerus perjuangan generasi terdahulu. Penyair Abdul Wahhab Azzam dalam al-Mathani meninggalkan kepada kita syair yang hebat :

"Kami adalah orang yang bermusafir dalam kehidupan...
Menjadi penghubung generasi mendatang dengan telah lalu...
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kami...
Menjadi kewajiban kami pula memberikan bimbingan untuk generasi mendatang"

Asy-Syeikh, anda telah menunaikan tanggungjawab memberikan tunjuk ajar kepada kami...
Kini giliran kami pula membawa tanggungjawab ini untuk diperturunkan kepada generasi mendatang.

Ya Allah ! Bantulah hambamu...

No comments: