Wednesday, December 15, 2010

TANGGUNGJAWAB NAQIB PAS 2

PERANAN NAQIB PAS

Sebagai tunjang utama dalam proses perkaderan dan pentarbiahan parti, setiap naqib perlu memahami peranan masing untuk menjayakan agenda-agenda yang telah ditetapkan oleh parti . Antara peranan yang perlu di mainkan ialah :

  • Murabbi

Naqib ialah seorang Murabbi yang mempunyai syakhsiah yang unggul, semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk mentarbiah, melatih, mendidik, membina akhlak, sikap dan perjalanan hidup ahli-ahli sehingga mampu memikul amanah perjuangan di semua peringkat. Para Murabbi adalah orang-orang yang tidak mengenal putus asa, malah menghadapi tugas-tugas pentarbiahan dengan meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada pertolongan dan pergantungan hidayah Allah. Mereka juga sanggup berkorban masa dan tenaga mereka untuk melihat anak-anak didik mereka mampu menjadi tentera Allah yang terbaik. Para murabbi kena menjadikan generasi terdahulu sebagai pedoman hidup mereka. Lihatlah contoh murabbi agung PAS, ustaz yahya Othman bagaimana semangat beliau dalam program-program pentarbiahan parti. Cuba tanya Adakah kita mampu jadi macam beliau??

  • Guru atau Mu'alim

Naqib adalah seorang mu'alim yang mempunyai persiapan ilmu dan thaqafah yang luas, memiliki semangat yang tinggi untuk mencurahkan seluruh ilmu pengetahuan kepada ahli-ahli usrah dan membimbing mereka di dalam bidang keilmuan.Ditegaskan di sini bahawa para naqib hendaklah mendalamkan pembacaan dan pengetahuan tentang ilmu asas dalam agama dan mampu menguasai ilmu-ilmu. Para naqib hendaklah memahami fiqh haraki,fiqh aulawiyat,fiqh waqie sebagai persediaan asas dalam membimbing ahli usrah mereka. Tidak dapat tidak para naqib hendaklah menunjukkan semangat dan komitmen tinggi dalam majlis ilmu. Sebagai naqib kita tidak hanya jadi orang yang mendengar tetapi jadilah orang yang menuntut ilmu. Naqib PAS juga tidak seharusnya malu untuk menuntut ilmu walaupun dengan orang yang muda daripada kita. Ingatlah jangan jadikan kesibukan kita sebagai alasan malas menuntut ilmu.

  • Bapa atau Ibu (Al-Ab atau Al-Umm )

Naqib hendaklah menganggap ahli usrah sebagai anak-anak yang menjadi tangungjawab kepada seorang bapa atau ibu untuk menumpukan sepenuhnya perhatian, kasih sayang, belaian mesra kepada anak-anaknya dengan menaruh harapan yang tinggi agar anak-anaknya menjadi manusia yang berguna dan berjasa kepada mereka setelah dewasa nanti.Sifat-sifat seperti ini mesti dimiliki oleh para mnaqib. Segala tindak-tanduk naqib adalah bertolak dari rasa kasih sayang dan kasih mesra dengan niat mendidik ahli-ahli usrah supaya berjasa kepada Islam.

  • Al-akh al-Muslim / Al-ukht al-Muslimah

Naqib adalah seorang al-akh al-Muslim / al-ukht al-Muslimah yang sejati yang hidup bersama dengan ahli-ahli usrah di atas landasan persaudaraan Islam, bersedia memberi teguran dengan baik dan menerima nasihat dan pandangan dengan rasa senang hati. Naqib hendaklah memahami tingkatan ukhwah iaitu serendah-serendah martabat ukhwah adalah berlapang dada dan setinggi-tinggi martabat ukhwah adalah itsar. Oleh itu, hendaklah naqib tidak buruk sangka pada ahli usrah, ingatlah ahli usrah kita juga manusia seumpama kita kadang- kadang ada khilaf dalam perbuatan mereka. Seboleh-bolehnya hendaklah dijadikan para sahabat sebagai contoh dalam setiap perbuatan dan amalan seharian. Lihatlah bagaiman ukhwah sesame mereka.


 

Tuesday, December 14, 2010

TANGGUNGJAWAB NAQIB USRAH PAS 1

Naqib ialah individu yang berperanan mengendali segala aktiviti ahli usrah di bawahnya agar dapat melahirkan insan yang berkualiti dalam segala aspek kehidupan. Kejayaan sesebuah usrah banyak bergantung kepada kredibiliti seorang naqib yang betul-betul memainkan peranan untuk membimbing ahli usrah. Mentor perlulah berperanan sebagai fasilitator, sebagai kaunselor, sebagai ibu, sebagai bapa, sebagai biro pengaduan awam, sebagai sahabat, sebagai pengurus, dan sebagai pembimbing. Naqib bukan sahaja perlu berjumpa dengan ahlinya seminggu sekali atau dua kali seminggu dalam majlis usrah, malahan lebih daripada itu yang menjangkau masa dan sempadan.

Selain itu, naqib juga berperanan penting sebagai tulang belakang yang akan menggerakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang tertua dan memainkan peranan penting dalam arena politik Malaysia terutama dalam pembinaan generasi pelapis kepimpinan PAS dan pembinaan kader yang menggerakkan segala aktiviti yang dirancangkan oleh pimpinan. Mentor ibarat sepohon pokok yang baik dan berguna kepada manusia dan alam seluruhnya sebagaimana firman Allah :

" Tidakkah engkau melihat ( wahai Muhammad ) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokok yang baik, yang pangkalnya ( akar tunjangnya ) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. '' ( 24 : Ibrahim )

Ini bererti naqib ibarat pokok-pokok yang melindungi dan memayungi agenda pentarbiahan dalam PAS. Oleh itu untuk menghasilkan kekuatan dan keutuhan PAS maka setiap pokok itu hendaklah dirangkai dengan pokok-pokok yang lain dengan ikatan-ikatan berikut :

  • Ikatan iman dan amal
  • Ikatan ukhuwwah dan mahabbah.
  • Ikatan saling hormat-menghormati
  • Ikatan kerjasama dan jihad
  • Ikatan syura
  • Ikatan taaruf, tafahum dan takaful
  • Ikatan perasaan.

Naqib hendaklah menyedari bahawa usrah merupakan satu medan tarbiah kepada ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada golongan professional terdiri daripada professor,doktor,jurutera dan peguam, ada golongan ulama dan ada golongan aktivis daripada pekerja am hingga nelayan dan petani. Ada juga ahli PAS yang terdiri daripada golongan yang memahami Islam yang syumul sebagai asas pembinaan sesebuah Negara,tetapi ada juga ahli PAS yang hanya menyertai PAS kerana bencikan UMNO dan tidak ada satu kefahaman Islam yang jelas.Oleh itu,keadaan ini memerlukan naqib yang kompeten yang mampu menyatukan pelbagai golongan dalam PAS kearah satu matlamat dan tujuan untuk mendaulatkan sebuah Negara Islam kearah menuju keredhaan Allah. Sekiranya berlaku kepincangan dalam institusi naqib maka PAS akan menghadapi pelbagai persoalan antaranya : Bagaimana ahli dapat dipimpin kearah satu pemikiran dan satu amal? Bagaimanakah ahli-ahli dapat ditarbiyah rohani, jasmani dan thaqafah mereka? Bagaimana ahli dapat dipupuk semngat jihad dalam diri mereka untuk mengorbankan jiwa dan harta untuk Islam

Seterusnya PAS akan menghadapi kesukaran-kesukaran untuk menyerahkan mandat-mandat penting dalam mengendalikan segala gerak kerja PAS. Oleh itu artikel ini dikarang bagi memberikan sedikit panduan mengenai tujuan-tujuan tarbiah sebagai asas kekuatan PAS, peranan yang perlu dimainkan oleh setiap naqib, tanggungjawab yang perlu dipikul untuk menjayakan agenda tarbiah dalam PAS dan ciri-ciri naqib yang baik sebagai panduan kepada setiap naqib PAS dalam pelbagai intitusi. Artikel ini ditulis berdasarkan artikel-artikel ilmiah yang telah ditulis oleh pimpinan gerakan Islam samada dari blog ataupun buku dan makalah ilmiah.

Saturday, April 17, 2010

KEPIMPINAN DR BURHANUDDIN AL-HELMI

Sebagai Presiden PAS, kerangka pemikiran politik Dr Burhanuddin adalah mendominasi pemikiran sebahagian besar ahli-ahli PAS pada tahun-tahun 1950 dan 60 an yang lebih menjurus kepada soal kebangsaan Melayu berbanding soal perjuangan Islam yang syumul. Inilah suasana yang melatari iklim politik Tanah Melayu pada masa tersebut. Persoalan kebangsaan Melayu memang menjadi perjuangan teras kepada parti-parti politik Melayu seperti PAS, Parti Negara, Parti PMS.  Adanya usaha untuk menuntut kemerdekaan selepas PRU pada thun 1955 telah menyebabkan Perikatan menerima krtikan daripada parti-parti orang melayu terutama dalam isu kerakyatan berdasarkan prinsip Jus Soli. Dengan membicarkan soal perjuangan orang Melayu, dalam suasana kebimbangan kekuatan ekonomi orang bukan Melayu dan rasa terancam hak orang melayu terhakis,menyebabkan PAS mudah diterima orang Melayu

Walaupun menjadi jurubicara orang Melayu,namun Dr Burhanuddin tetap tegas dengan prinsip perjuangan Islam yang mesti didokong dengan wadah PAS :  

"PAS akan terus berjuang untuk melahirkan sebuah negara Islam. PAS akan membuktikan bahwa dasar Islam adalah sesuai untuk sesiapa sahaja yang cinta kepada perdamaian, perpaduan, dan kemakmuran untuk seluruh manusia yang patuh kepada undang-undang Islam walaubagaimanapun PAS mesti berusaha. Berusaha membentuk kesanggupan. Berusaha mencari kebolehan. Berusaha mengumpulkan tenaga perjuangan yang suci, tulen dan hak. Seterusnya berusaha untuk membentuk negara. Demikianlah cita-cita perjuangan PAS. Cita-cita yang diasaskan atas dasar taqwa, atas dasar berbakti kepada Allah S.W.T untuk kepentingan seluruh manusia yang senegara khsanya dan untuk seluruh manusia umumnya,kerana dasar Islam ialah untuk memberi rahmat kepada seluruh manusia

Dr Burhanuddin juga selalu mengaskan dalam ucapannya bahawa kegagalan UMNO dan perikatan adalah kerana tidak merujuk kepada Islam dalam menangani pemasalahan pemerintahan :

" PAS telah nampak bahawa tidak akan dapat diselamatkan umat Islam negara ini dan juga rakyat keseluruhannya melainkan dengan berpegang kepada ajaran dan asas pemerintahan yang adil dan jujur seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran. Apabila disebutkan bahawa menurut ajaran Al-Quran danHadis, maka yang menjadi tujuannya ialah mengamalkan sepenuhnya dalam urusan hidup, politik, ekonomi, masyarakat dan lain-lain lagi. Kita semua tahu bahwa dalam Islam peraturan Islam itu adalah sistem keseluruhan yang lengkap yang tidak boleh dipecah-pecahkan dan dipisah-pisahkan diantara satu sama lain "

Dr Burhanuddin telah berjaya di zamannyauntuk menyatukan kekuatan diantara kelompok Islam dan kelompok sosialis atau golongan kiri melayu untuk menentang Perikatan. Kejayaan Dr Burhanuddin ini adalah dilatari pengalamn peribadinya yang berkecimpung seawal tahun 1940an di dalam gerakan politik kebangsaan Melayu


P/S : dipetik dari buku PENGARUH PEMIKIRAN IKHWANUL MUSLIMIN TERHADAP PAS karya ustaz Ridhuan Mohd Nor

Thursday, April 15, 2010

PAS DAN PERUBAHAN KEPIMPINAN

PAS semasa dibawah kepimpinan Haji Ahmad Fuad tidaklah begitu menyerlah kerana kepimpinannya yang dipersoalkan lantaran sikap beliau yang menyokong Dato' Onn. Namun apabila PAS dipimpin oleh Dr Abbas Alias, kepimpinannya mula mengorak langkah bagi memperkenalkan PAS kepada masyarakat tetapi masih lagi terbatas kerana Dr Abbas adalah penjawat awam yang terikat dengan tugasannya dan etikan perkhidmatannya. Kepimpinan PAS mula melonjak ke hadapan apabila pimpinan Dewan Pemuda PAS yang dipimpin oleh Hassan Adli telah memujuk Dr. Burhanuddin Al-Helmi untuk menyertai dan seterusnya memipin PAS. Perundingan untuk memudahkan kemasukan Dr Burhanuddin ke dalam PAS telah dilakukan oleh Haji Said Abdul Hadi iaitu Pesuruhjaya PAS Johor yang bekerja di Pejabat Mufti Johor. Beliau telah diamanahkan oleh Hassan Adli untuk menemui Dr Burhanuddin di Singapura bagi mendapatkan persetujuan beliau secara bertulis dan mengisi borang keahlian PAS.

PAS mula menunjukkan perubahan yang besar apabila dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi,seorang yang berpendidikan Islam dan mendapat pendedahan politik yang luas semenjak menuntut di India lagi. Walau bagaimanapun PAS dibawah Dr.Burhanuddin begitu lantang menyuarakan soal kebangsaan Melayu berbanding perjuangan Islam yang syumul. Dr Burhanuddin Al Helmi mula dilantik dalam muktamar PAS pada 25 Disember 1956 yang telah berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya menewaskan pencabarnya iaitu Prof Zulkifli Mohamad untuk jawatan presiden. Sungguhpun Prof Zulkifli telah mendapat pencalonan yang terbanyak daripada kawasan-kawasan. Perpecahan undi perwakilan itu membayangkan bahawa Dr Burhanuddin tidak disokong sepenuhnya sebagai menjawat jawatan nombor satu dalam PAS kerana ada ahli-ahli PAS yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin sebelum ini akan mensasarkan PAS daripada fikrah perjuangan Islam yang sebenar.

Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Mohamad , seorang tokoh muda PAS yang sangat karisamatik dan semasa belajar di Mesir beliau telah mendapat tarbiyah secara langsung daripada Hassan Al Banna dan Syed Qutb. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret beliau untuk menyertai PAS pada awal tahun 1950-an. Beliau adalah antara tokoh penting yang menjadi 'ideologue' kepada pengikut PAS yang telah berusaha keras memastikan elemen tarbiyah mengukuhkan wadah PAS. Prof Zulkifli adalah tokoh yang bertanggungjawab memahamkan konsep perjuangan PAS untuk menegakkan cita-cita politik Islam sebagai ibadah sesuai dengan matlamat penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah yang difahaminya dalam konteks yang lebih luas termasuklah berkhidmat kepada bangsa. Beliau telah mencatitkan dalam muqaddimah cadangan perlembagaan baru PAS :

" Setiap orang diciptakan Allah dengan matlamat untuk berbakti kepada Allah dan
berbuat baik terhadapnya serta bertindak mengikut apa yang diredhai oleh Allah
supaya Allah mengasihinya. Oleh itu,manusia mesti menyeru kepada yang makruf
dan mencegah kepada yang mungkar.Inilah konsep pengabdian kepada Allah dan
ketaqwaan kepadanya yang merupakan ciri utama dalam kehidupan Muslim "

Wednesday, April 7, 2010

PERKEMBANGAN AWAL PAS

Di awal penubuhannya, PAS telah berkembang pesat di negeri Perak terutama di sebelah Perak Utara dan juga di Seberang Perai, Pulau Pinang. PAS mula dikembangkan di Kelantan oleh seorang ahli bomba iaitu Amaluddin Darus yang mula menubuhkan PAS cawangan Pasir Mas. Seterusnya PAS mula berkembang subur di negeri itu apabila mendapat sokongan daripada guru-guru pondok yang mempunyai pengaruh besar dikalangan masyarakat negeri itu. Dalam persidangannya di Kepala Batas, Pulau Pinang pada tarikh 4 Januari 1953, parti itu telah menggariskan matlamat utama perjuangannya iaitu untuk menegakkan sebuah negara yang merdeka berlandaskan ajaran Islam serta matlamat- matlamat lain seperti berikut :
  1. Berusaha dengan kuat untuk memperkenalkan kepada rakyat jelata akan kemerdekaan yang tulen serta menanamkan ke dalam jiwa mereka semangat kemerdekaan itu sambil menunjukkan cara-cara mencapainya

  1. Berusaha dengan kuat memperkenalkan demokrasi yang sejati dan menyatakan faedah-faedahnya kepada negara dan umat Islam serta berusaha menanamkan semangat demokrasi ke dalam jiwa masing-masing sambil menunjukkan cara-cara bagi mencapai demokrasi

  1. Mengatur dengan kemas cita-cita merdeka PAS dan menjalankan tanggung jawab yang berkaitan dengan Agama Islam

  1. Berikhtiar memperkenalkan diri PAS sebagai mewakili Umat Islam Melayu kepada alam Islamiyah dan badan-badan kebajikan Islam seluruh dunia serta membuat perhubungan dengannya samada dalam perkara kebajikan bagi Malaya khasnya dan dunia amnya

  1. Berikhtiar melaksanakan hukum-hukum Islam

Tuesday, March 30, 2010

PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM 3

PENUBUHAN PAS

Terdapat beberapa faktor yang turut menyumbang kepada penubuhan PAS pada waktu itu dalam politik tanah air. Di antaranya ialah kerana keinginan pucuk pimpinan UMNO untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung. Umno menyedari bahawa alim ulama mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang melayu yang beragama Islam. Pada masa tersebut berlaku keretakan dikalangan pemimpin UMNO di antara penyokong Dato' Onn Jaafar dan penentangnya. Keretakan yang berlaku dalam UMNO turut mengheret pergeseran yang berlaku dikalangan ulama dalam UMNO walaupun dalam skala kecil. Ada yang secara terang menyokong Dato' Onn seperti Haji Ahmad Fuad dan sebaliknya ada pula yang mempersoalkan Dato' Onn. Senario inilah yang menyebabkan ada di antara tokoh-tokoh ulama yang mula berfikir bahawa golongan ulama patut memilih jalan sendiri dalam menentukan masa depan ummah dan agama di tanahairnya sendiri. Dalam suasana inilah menjadi latar belakang kepada persidangan alim ulama yang ketiga di Butterworth yang telah melahirkan PAS

Walaupun terdapat kecenderungan dikalangan ulama yang ahdir untuk memisahkan diri daripada anggapan bahawa kegiatan alim ulama daripada menjadi satelit UMNO, tetapi pengaruh kepada persidangan itu tidak dapat dielakkan. Ini kerana tenaga-tenaga penting persidangan adalah 'orang kuat' UMNO seprti Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki malah tempat persidangan itu berlangsung adalah tempat di mana aktiviti-aktiviti UMNO dijalankan. Persidangan ini agak berbeza dengan persidangan ulama sebelumnya apabila turut dibuka kepada badan-badan Islam yang lain seperti Lembaga Pentadbiran Masjid-Masjid ( Jamaah Masjid Telaga Ayer Butterworth ), wakil Maahad Ehya As-Sharif dan persatuan Ehya As-Sharif. Persidangan itu telah bersetuju dengan suara majoriti untuk meletakkan nama Persatuan Islam Se Malaya sebagai nama badan siasah yang hendak ditubuhkan itu atau ringkasan PAS.

Selain membincangkan soal nama pertubuhan, perwakilan juga turut membahaskan rangka perlembagaan persatuan baru itu. Pada malamnya perwakilan telah memilih pemegang-pemegang jawatan. Terdapat beberapa nama yang dicadangkan untuk jawatan presiden parti tetapi ramai yang telah menarik diri kecuali Tuan Haji Ahmad Fuad dan Syeikh Abdullah Fahim. Pemilihan presiden dibuat secara undian dan kelebihan kepada Haji Ahmad Fuad. Ahli Jawatankuasa Lain seperti :
  1. Haji Mohamad Ghazali Abdullah ( Timb. Presiden )
  2. Haji Husain Che Dol ( Naib Presiden )
  3. Faqeh Mohd Nor ( Naib Presiden )
  4. Abdul Rahman Jamaluddin ( Naib Presiden )
  5. Haji Ahmad Maliki ( Setiausaha )
  6. Haji Ahmad Tuan Husain ( Bendahari )
  7. Haji Yahya Junaid - Kedah ( AJK )
  8. Haji Osman Talib - NS ( AJK )
  9. Haji Mohamad Nor - KL ( AJK )
  10. Haji Zabidi Ali - Penang ( AJK )
  11. Haji Abdul Wahab - KL ( AJK )
  12. Haji As'iya - Perak ( AJK )
  13. Mohd Majzub - NS ( AJK )
  14. Haji Ahmad Badawi - Seberang Perai ( AJK ) .
Parti ini juga telah memilih ucapan salam sebagai cogan kata parti yang melambangkan ikatan ukhwah islamiyyah di kalangan ahlinya. Kewujudan Pas telah memberikan satu runang kepada ahli-ahli Hizbul Muslimin untuk berpartisipasi dengannya, apatah lagi terdapat ramai dikalangan bekas pemimpin Hizbul Muslimin turut serta menganggotai parti tersebut seperti khaidir Khatib,Othman Hamzah dan baharuddin Latif


P/S : dipetik dari buku Pengaruh Pemikiran IM terhadap PAS karya ridhuan mohd nor


Sunday, March 28, 2010

PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM 2

SEJARAH PENUBUHAN PARTI ISLAM SE MALAYSIA 1

Sejarah penubuhan PAS adalah sinonim dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin yang telah diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. Hizbul Muslimin ditubuhkan di Gunung Semanggol, Perak dengan nasihat daripada tokoh-tokoh politik seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi dan kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Islam ( Masyumi ). Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al- Baqir dan didokong oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama. Pertubuhan politik Islam ini mensasarkan 3 matlamat utama dalam perjuangannnya :
  1. Membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan
  2. Membentuk negara Islam yang bersifat sejagat
  3. Menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam
Seawal penubuhannya, Hizbul Muslimin diawasi dan diintip kegiatannya oleh unit risikan British. Hal ini terjadi kerana Britis sudah mempunyai pengalam bertembung dengan gerakan Islam yang anti penjajah seperti di Sudan,Mesir,Nigeria dan sebagainya. Pengawasan yang dilakukan oleh British terhadap Hizbul Muslimin adalah berdasarkan laporan unit risikan British sepertimana berikut :

The development of this movement should be very closely watched, for its preaches nationalism as the religious duty of all the believers, and Islam has been a militant creed. There can be no doubt that its propaganda is made to appeal to the young Malay intelectuals and progressives, since its strives to gives scriptural authority to their efforts to modernize their society and economy and to their undoubtedly aspirations towards national independence

British telah mendapat kesempatan yang baik untuk melumpuhkan gerakan ini apabila berlaku ancaman daripada anasir komunis yang melancarkan gerila untuk menumbangkan pentadbiran British di Tanah Melayu bagi menubuhkan republik rakyat komunis. Gerakan agresif Parti Komunis Malaya yang dipimpin oleh Chin Peng bertindak atas arahan resolusi Persidangan Komunis Asia yang bersidang di Calcutta, India. Kerajaan British telah mengisytiharkan darurat pada 18 Jun 1948 dan telah memperkenalkan Ordinan Darurat. Tindakan ini telah memberikan ruang yang luas kepada British untuk menahan sesiapa yang dianggap mengancam keselamatan negara. British telah mengharamkan parti-parti politik aliran kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ), Angkatan Pemuda Insaf ( API ), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS ) dan Hizbul Muslimin. Ustaz Abu Bakar Al Baqir dan sejumlah pimpinan Hizbul Muslimin turut ditahan di bawah ordinan tersebut.

Dalam tempoh awal zaman darurat ini, parti berhaluan kanan seperti UMNO diberi ruang yang luas untuk bergerak dan sebahagian ahli-ahli Hizbul Muslimin turut menganggotai Biro Agama UMNO bagi mengisi ruang perjuangan Islam yang ada dalam biro tersebut. Walaubagaimanapun suara-suara menuntut supaya diadakan sebuah pergerakan siasah berteraskan Islam mula kedengaran. Maka pada tanggal 24 November 1951 satu perhimpunan ulama, badan-badan dan pertubuhan Islam telah diadakan di perkarangan Kelab Melayu Bagan di Butterworth, Pulau Pinang. Dalam persidangan ini,suatu keputusan telah diambil bagi mewujudkan Parti Islam Se-Tanah Melayu yang mana telah mendapat sokongan kuat daripada perwakilan yang hadir pada hari tersebut.

P/S : dipetik dari buku Pengaruh Pemikiran IM terhadap PAS karya ridhuan mohd nor