Wednesday, December 15, 2010

TANGGUNGJAWAB NAQIB PAS 2

PERANAN NAQIB PAS

Sebagai tunjang utama dalam proses perkaderan dan pentarbiahan parti, setiap naqib perlu memahami peranan masing untuk menjayakan agenda-agenda yang telah ditetapkan oleh parti . Antara peranan yang perlu di mainkan ialah :

  • Murabbi

Naqib ialah seorang Murabbi yang mempunyai syakhsiah yang unggul, semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk mentarbiah, melatih, mendidik, membina akhlak, sikap dan perjalanan hidup ahli-ahli sehingga mampu memikul amanah perjuangan di semua peringkat. Para Murabbi adalah orang-orang yang tidak mengenal putus asa, malah menghadapi tugas-tugas pentarbiahan dengan meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada pertolongan dan pergantungan hidayah Allah. Mereka juga sanggup berkorban masa dan tenaga mereka untuk melihat anak-anak didik mereka mampu menjadi tentera Allah yang terbaik. Para murabbi kena menjadikan generasi terdahulu sebagai pedoman hidup mereka. Lihatlah contoh murabbi agung PAS, ustaz yahya Othman bagaimana semangat beliau dalam program-program pentarbiahan parti. Cuba tanya Adakah kita mampu jadi macam beliau??

  • Guru atau Mu'alim

Naqib adalah seorang mu'alim yang mempunyai persiapan ilmu dan thaqafah yang luas, memiliki semangat yang tinggi untuk mencurahkan seluruh ilmu pengetahuan kepada ahli-ahli usrah dan membimbing mereka di dalam bidang keilmuan.Ditegaskan di sini bahawa para naqib hendaklah mendalamkan pembacaan dan pengetahuan tentang ilmu asas dalam agama dan mampu menguasai ilmu-ilmu. Para naqib hendaklah memahami fiqh haraki,fiqh aulawiyat,fiqh waqie sebagai persediaan asas dalam membimbing ahli usrah mereka. Tidak dapat tidak para naqib hendaklah menunjukkan semangat dan komitmen tinggi dalam majlis ilmu. Sebagai naqib kita tidak hanya jadi orang yang mendengar tetapi jadilah orang yang menuntut ilmu. Naqib PAS juga tidak seharusnya malu untuk menuntut ilmu walaupun dengan orang yang muda daripada kita. Ingatlah jangan jadikan kesibukan kita sebagai alasan malas menuntut ilmu.

  • Bapa atau Ibu (Al-Ab atau Al-Umm )

Naqib hendaklah menganggap ahli usrah sebagai anak-anak yang menjadi tangungjawab kepada seorang bapa atau ibu untuk menumpukan sepenuhnya perhatian, kasih sayang, belaian mesra kepada anak-anaknya dengan menaruh harapan yang tinggi agar anak-anaknya menjadi manusia yang berguna dan berjasa kepada mereka setelah dewasa nanti.Sifat-sifat seperti ini mesti dimiliki oleh para mnaqib. Segala tindak-tanduk naqib adalah bertolak dari rasa kasih sayang dan kasih mesra dengan niat mendidik ahli-ahli usrah supaya berjasa kepada Islam.

  • Al-akh al-Muslim / Al-ukht al-Muslimah

Naqib adalah seorang al-akh al-Muslim / al-ukht al-Muslimah yang sejati yang hidup bersama dengan ahli-ahli usrah di atas landasan persaudaraan Islam, bersedia memberi teguran dengan baik dan menerima nasihat dan pandangan dengan rasa senang hati. Naqib hendaklah memahami tingkatan ukhwah iaitu serendah-serendah martabat ukhwah adalah berlapang dada dan setinggi-tinggi martabat ukhwah adalah itsar. Oleh itu, hendaklah naqib tidak buruk sangka pada ahli usrah, ingatlah ahli usrah kita juga manusia seumpama kita kadang- kadang ada khilaf dalam perbuatan mereka. Seboleh-bolehnya hendaklah dijadikan para sahabat sebagai contoh dalam setiap perbuatan dan amalan seharian. Lihatlah bagaiman ukhwah sesame mereka.


 

No comments: