Tuesday, December 14, 2010

TANGGUNGJAWAB NAQIB USRAH PAS 1

Naqib ialah individu yang berperanan mengendali segala aktiviti ahli usrah di bawahnya agar dapat melahirkan insan yang berkualiti dalam segala aspek kehidupan. Kejayaan sesebuah usrah banyak bergantung kepada kredibiliti seorang naqib yang betul-betul memainkan peranan untuk membimbing ahli usrah. Mentor perlulah berperanan sebagai fasilitator, sebagai kaunselor, sebagai ibu, sebagai bapa, sebagai biro pengaduan awam, sebagai sahabat, sebagai pengurus, dan sebagai pembimbing. Naqib bukan sahaja perlu berjumpa dengan ahlinya seminggu sekali atau dua kali seminggu dalam majlis usrah, malahan lebih daripada itu yang menjangkau masa dan sempadan.

Selain itu, naqib juga berperanan penting sebagai tulang belakang yang akan menggerakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang tertua dan memainkan peranan penting dalam arena politik Malaysia terutama dalam pembinaan generasi pelapis kepimpinan PAS dan pembinaan kader yang menggerakkan segala aktiviti yang dirancangkan oleh pimpinan. Mentor ibarat sepohon pokok yang baik dan berguna kepada manusia dan alam seluruhnya sebagaimana firman Allah :

" Tidakkah engkau melihat ( wahai Muhammad ) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokok yang baik, yang pangkalnya ( akar tunjangnya ) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. '' ( 24 : Ibrahim )

Ini bererti naqib ibarat pokok-pokok yang melindungi dan memayungi agenda pentarbiahan dalam PAS. Oleh itu untuk menghasilkan kekuatan dan keutuhan PAS maka setiap pokok itu hendaklah dirangkai dengan pokok-pokok yang lain dengan ikatan-ikatan berikut :

  • Ikatan iman dan amal
  • Ikatan ukhuwwah dan mahabbah.
  • Ikatan saling hormat-menghormati
  • Ikatan kerjasama dan jihad
  • Ikatan syura
  • Ikatan taaruf, tafahum dan takaful
  • Ikatan perasaan.

Naqib hendaklah menyedari bahawa usrah merupakan satu medan tarbiah kepada ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada golongan professional terdiri daripada professor,doktor,jurutera dan peguam, ada golongan ulama dan ada golongan aktivis daripada pekerja am hingga nelayan dan petani. Ada juga ahli PAS yang terdiri daripada golongan yang memahami Islam yang syumul sebagai asas pembinaan sesebuah Negara,tetapi ada juga ahli PAS yang hanya menyertai PAS kerana bencikan UMNO dan tidak ada satu kefahaman Islam yang jelas.Oleh itu,keadaan ini memerlukan naqib yang kompeten yang mampu menyatukan pelbagai golongan dalam PAS kearah satu matlamat dan tujuan untuk mendaulatkan sebuah Negara Islam kearah menuju keredhaan Allah. Sekiranya berlaku kepincangan dalam institusi naqib maka PAS akan menghadapi pelbagai persoalan antaranya : Bagaimana ahli dapat dipimpin kearah satu pemikiran dan satu amal? Bagaimanakah ahli-ahli dapat ditarbiyah rohani, jasmani dan thaqafah mereka? Bagaimana ahli dapat dipupuk semngat jihad dalam diri mereka untuk mengorbankan jiwa dan harta untuk Islam

Seterusnya PAS akan menghadapi kesukaran-kesukaran untuk menyerahkan mandat-mandat penting dalam mengendalikan segala gerak kerja PAS. Oleh itu artikel ini dikarang bagi memberikan sedikit panduan mengenai tujuan-tujuan tarbiah sebagai asas kekuatan PAS, peranan yang perlu dimainkan oleh setiap naqib, tanggungjawab yang perlu dipikul untuk menjayakan agenda tarbiah dalam PAS dan ciri-ciri naqib yang baik sebagai panduan kepada setiap naqib PAS dalam pelbagai intitusi. Artikel ini ditulis berdasarkan artikel-artikel ilmiah yang telah ditulis oleh pimpinan gerakan Islam samada dari blog ataupun buku dan makalah ilmiah.

1 comment:

Roti Dmas said...

Sekarang sukar nak cari naqib khas di kaw pedalaman dan luar bandar...