Thursday, April 15, 2010

PAS DAN PERUBAHAN KEPIMPINAN

PAS semasa dibawah kepimpinan Haji Ahmad Fuad tidaklah begitu menyerlah kerana kepimpinannya yang dipersoalkan lantaran sikap beliau yang menyokong Dato' Onn. Namun apabila PAS dipimpin oleh Dr Abbas Alias, kepimpinannya mula mengorak langkah bagi memperkenalkan PAS kepada masyarakat tetapi masih lagi terbatas kerana Dr Abbas adalah penjawat awam yang terikat dengan tugasannya dan etikan perkhidmatannya. Kepimpinan PAS mula melonjak ke hadapan apabila pimpinan Dewan Pemuda PAS yang dipimpin oleh Hassan Adli telah memujuk Dr. Burhanuddin Al-Helmi untuk menyertai dan seterusnya memipin PAS. Perundingan untuk memudahkan kemasukan Dr Burhanuddin ke dalam PAS telah dilakukan oleh Haji Said Abdul Hadi iaitu Pesuruhjaya PAS Johor yang bekerja di Pejabat Mufti Johor. Beliau telah diamanahkan oleh Hassan Adli untuk menemui Dr Burhanuddin di Singapura bagi mendapatkan persetujuan beliau secara bertulis dan mengisi borang keahlian PAS.

PAS mula menunjukkan perubahan yang besar apabila dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi,seorang yang berpendidikan Islam dan mendapat pendedahan politik yang luas semenjak menuntut di India lagi. Walau bagaimanapun PAS dibawah Dr.Burhanuddin begitu lantang menyuarakan soal kebangsaan Melayu berbanding perjuangan Islam yang syumul. Dr Burhanuddin Al Helmi mula dilantik dalam muktamar PAS pada 25 Disember 1956 yang telah berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya menewaskan pencabarnya iaitu Prof Zulkifli Mohamad untuk jawatan presiden. Sungguhpun Prof Zulkifli telah mendapat pencalonan yang terbanyak daripada kawasan-kawasan. Perpecahan undi perwakilan itu membayangkan bahawa Dr Burhanuddin tidak disokong sepenuhnya sebagai menjawat jawatan nombor satu dalam PAS kerana ada ahli-ahli PAS yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin sebelum ini akan mensasarkan PAS daripada fikrah perjuangan Islam yang sebenar.

Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Mohamad , seorang tokoh muda PAS yang sangat karisamatik dan semasa belajar di Mesir beliau telah mendapat tarbiyah secara langsung daripada Hassan Al Banna dan Syed Qutb. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret beliau untuk menyertai PAS pada awal tahun 1950-an. Beliau adalah antara tokoh penting yang menjadi 'ideologue' kepada pengikut PAS yang telah berusaha keras memastikan elemen tarbiyah mengukuhkan wadah PAS. Prof Zulkifli adalah tokoh yang bertanggungjawab memahamkan konsep perjuangan PAS untuk menegakkan cita-cita politik Islam sebagai ibadah sesuai dengan matlamat penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah yang difahaminya dalam konteks yang lebih luas termasuklah berkhidmat kepada bangsa. Beliau telah mencatitkan dalam muqaddimah cadangan perlembagaan baru PAS :

" Setiap orang diciptakan Allah dengan matlamat untuk berbakti kepada Allah dan
berbuat baik terhadapnya serta bertindak mengikut apa yang diredhai oleh Allah
supaya Allah mengasihinya. Oleh itu,manusia mesti menyeru kepada yang makruf
dan mencegah kepada yang mungkar.Inilah konsep pengabdian kepada Allah dan
ketaqwaan kepadanya yang merupakan ciri utama dalam kehidupan Muslim "

No comments: