Tuesday, March 30, 2010

PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM 3

PENUBUHAN PAS

Terdapat beberapa faktor yang turut menyumbang kepada penubuhan PAS pada waktu itu dalam politik tanah air. Di antaranya ialah kerana keinginan pucuk pimpinan UMNO untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung. Umno menyedari bahawa alim ulama mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang melayu yang beragama Islam. Pada masa tersebut berlaku keretakan dikalangan pemimpin UMNO di antara penyokong Dato' Onn Jaafar dan penentangnya. Keretakan yang berlaku dalam UMNO turut mengheret pergeseran yang berlaku dikalangan ulama dalam UMNO walaupun dalam skala kecil. Ada yang secara terang menyokong Dato' Onn seperti Haji Ahmad Fuad dan sebaliknya ada pula yang mempersoalkan Dato' Onn. Senario inilah yang menyebabkan ada di antara tokoh-tokoh ulama yang mula berfikir bahawa golongan ulama patut memilih jalan sendiri dalam menentukan masa depan ummah dan agama di tanahairnya sendiri. Dalam suasana inilah menjadi latar belakang kepada persidangan alim ulama yang ketiga di Butterworth yang telah melahirkan PAS

Walaupun terdapat kecenderungan dikalangan ulama yang ahdir untuk memisahkan diri daripada anggapan bahawa kegiatan alim ulama daripada menjadi satelit UMNO, tetapi pengaruh kepada persidangan itu tidak dapat dielakkan. Ini kerana tenaga-tenaga penting persidangan adalah 'orang kuat' UMNO seprti Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki malah tempat persidangan itu berlangsung adalah tempat di mana aktiviti-aktiviti UMNO dijalankan. Persidangan ini agak berbeza dengan persidangan ulama sebelumnya apabila turut dibuka kepada badan-badan Islam yang lain seperti Lembaga Pentadbiran Masjid-Masjid ( Jamaah Masjid Telaga Ayer Butterworth ), wakil Maahad Ehya As-Sharif dan persatuan Ehya As-Sharif. Persidangan itu telah bersetuju dengan suara majoriti untuk meletakkan nama Persatuan Islam Se Malaya sebagai nama badan siasah yang hendak ditubuhkan itu atau ringkasan PAS.

Selain membincangkan soal nama pertubuhan, perwakilan juga turut membahaskan rangka perlembagaan persatuan baru itu. Pada malamnya perwakilan telah memilih pemegang-pemegang jawatan. Terdapat beberapa nama yang dicadangkan untuk jawatan presiden parti tetapi ramai yang telah menarik diri kecuali Tuan Haji Ahmad Fuad dan Syeikh Abdullah Fahim. Pemilihan presiden dibuat secara undian dan kelebihan kepada Haji Ahmad Fuad. Ahli Jawatankuasa Lain seperti :
  1. Haji Mohamad Ghazali Abdullah ( Timb. Presiden )
  2. Haji Husain Che Dol ( Naib Presiden )
  3. Faqeh Mohd Nor ( Naib Presiden )
  4. Abdul Rahman Jamaluddin ( Naib Presiden )
  5. Haji Ahmad Maliki ( Setiausaha )
  6. Haji Ahmad Tuan Husain ( Bendahari )
  7. Haji Yahya Junaid - Kedah ( AJK )
  8. Haji Osman Talib - NS ( AJK )
  9. Haji Mohamad Nor - KL ( AJK )
  10. Haji Zabidi Ali - Penang ( AJK )
  11. Haji Abdul Wahab - KL ( AJK )
  12. Haji As'iya - Perak ( AJK )
  13. Mohd Majzub - NS ( AJK )
  14. Haji Ahmad Badawi - Seberang Perai ( AJK ) .
Parti ini juga telah memilih ucapan salam sebagai cogan kata parti yang melambangkan ikatan ukhwah islamiyyah di kalangan ahlinya. Kewujudan Pas telah memberikan satu runang kepada ahli-ahli Hizbul Muslimin untuk berpartisipasi dengannya, apatah lagi terdapat ramai dikalangan bekas pemimpin Hizbul Muslimin turut serta menganggotai parti tersebut seperti khaidir Khatib,Othman Hamzah dan baharuddin Latif


P/S : dipetik dari buku Pengaruh Pemikiran IM terhadap PAS karya ridhuan mohd nor


No comments: