Thursday, September 25, 2008

TAZKIRAH 3

Bila Berjanji Sebutlah Insyaallah

Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu : sesungguhnya aku akan memberitahu atau mengerjakan esok pagi.Kecuali dengan menyebut Insyaallah dan ingatlah kepada tuhanmu apabila kamu lupa dan katakanlah : mudah-mudahan tuhanku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya
(Al-Kahfi ayat 23-24)

Apabila ulama membincangkan sebab nuzul ayat ini adalah apabila musyrikin Quraisy selalu bertanya kepada Rasulullah S.A.W mengenai beberapa perkara antaranya berkenaan dengan kejadian alam dan kisah-kisah umat terdahulu,lalu Allah S.W.T terus menurunkan wahyu kepada Rasulullah S.A.W bagi menjawab pertanya tersebut.Ini menyebabkan baginda S.A.W berasa yakin bahawa wahyu akan turun setiap kali persoalan diajukan kepada baginda.Beberapa orang pemuka Quraisy telah berjumpa dengan ahli kitab Yahudi di Madinah bagi mengadu mengenai seorang pemuda yang telah mengaku dirinya sebagai utusan Allah di Makkah pada masa itu,lalu ahli kitab telah memberi 3 soalan kepada pemuka Quraisy untuk dikemukakan kepada Rasulullah S.A.W. Antara soalan-soalan tersebut adalah :
  • Kisah Ashabul Kahfi
  • Kisah Iskandar Dzulqarnain
  • Persoalan mengenai roh
Ahli kitab tersebut menyebut bahawa jikalau pemuda tersebut berjaya menjawab kesemua soalan tersebut dia bukanllah utusan Allah dan jikalau dia tidak dapat menjawab kesemua soalan pun dia bukan rasulullah.

Sekembalinya pemuka Quraisy ke Makkah,mereka telah bertanya kepada nabi Muhammad S.A.W mengenai Ashabul Kahfi,lalu Rasulullah S.A.W menjawab esok baginda akan menjawab soalan tersebut,tapi pada malam itu Allah tidak menurunkan wahyu berkenaan perkara tersebut.Rasulullah S.A.W menunggu wahyu diturunkankeesokan harinya namun tidak turun.Pembesar Quraisy telah mengejek bahawa Rasulullah S.A.W merupakan penipu dan ini menyebabkan dada baginda sebak.Hampir 2 minggu barulah Allah menurunkan surah Al-Kahfi bagi menjawab persoalan tersebut dan diakhir kisah Ashabul kahfi Allah telah menyebut ayat ini untuk memberi pengajaran kepada nabi Muhammad S.A.W mengenai adab membuat janji.

Kita semua mesti menyedari bahawa ayat ini bukan sahaja diturunkan kepada Rasulullah S.A.W sahaja tapi juga merupakan panduan kepada umatnya.Kita dapat melihat situasi umat Islam pada hari ini,berpa ramai di antara kita yang menabur janji tapi tidak menyebut Insyaallah.Baru-baru ini kita dihebohkan mengenai pertukaran kerajaan pada 16 September oleh seorang ketua pembangkang namun adakah membuat kenyataan dengan menyebut Insyaallah.Kita mesti menyedari bahawa setiap sesuatu yang terjadi pada hari ini adalah ketetapan Allah dan sesuatu akan berlaku apabila diizinkan oleh Allah.Kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan segalanya.

Namun perkara pelik yang terjadi dan menyelubungi pemikiran umat islam pada hari ini bahawa sebutan Insyaallah hanyalah diucapkan apabila kita ingin melanggar janji tersebut.Ini menyebabkan perjanjian yang diucapkan dengan Insyaallah tidak kuat dan tidak dapat dipercayai.Perkara ini merupakan satu kesilapan besar kerana ayat diatas merupakan dalil yang cukup kuat bahawa setiap perjanjian hendaklah disertakan dengan ucapan Insyaallah.Jikalau kita tidak mampu melakukan sesuatu janji hendaklah kita mengelakkan janji tersebut dan janganlah menyebut Insyaallah bagi melepaskan diri.

Marilah kita sama-sama berubah dan mengamalkan adab Islam yang sebenar dan janganlah kita pandai-pandai mengubah sesutau adab yang ditetapkan oleh Allah kerana ini hanyalah memburukkan adab dalam Islam.Kita mesti menyedari bahawa perlakuan kita dipandang oleh orang lain dan jikalau kita seolah-olah menggunakan agama untuk melarikan diri dari sesuatu masalah ini akan memburukkan nama baik Islam itu sendiri.


No comments: