Tuesday, September 23, 2008

Bicara Haraki

Wala' Pada Pimpinan

Entah kenapa hati ini berdebar-debar melihat bicara politik dikalangan ahli-ahli gerakan Pas di dalam internet.Situasi pada hari ini seolah-olah ada yang terlalu ghairah membicarakan hal pertukaran kerajaan sehingga melupakan adab-adab berjamaah.Dalam hati aku adakalanya terdetik adakah kita berjuang dalam Pas untuk menjatuhkan Umno semata-mata ataupun untuk mendaulatkan Islam.Kita dapat lihat pada hari ini,bagaimana ada sesetengah ahli dan pimpinan Pas yang hanya menyokong pimpinan yang menyokong plan 16 september sahaja dan mengutuk pimpinan yang tidak senada dengan mereka.

Aku pelik kenapa ada sesetengah ahli yang seolah-olah tidak memahami bahawa Pas sebagai gerakan Islam ada panduan Al-Quran dan Sunnah dalam membuat sesuatu keputusan dan para pimpinan parti tidak akan berbuat satu keputusan tanpa merujuk pada syura.Sebagai ahli jamaah kita mestilah wala' pada keputusan pimpinan yang berlandaskan syura walaupun tidak sesuai dan mengikut kemahuan kita.Sedarlah bahwa keputusan yang diputuskan melalui syura merupakan keputusan terbaik kerana mendapat rahmat dan redha dari Allah.

Beberapa hari lagi kita akan berada dalam bulan Syawal,marilah kita merenung balik peristiwa perang Uhud yang berlaku pada bulan tersebut.Kerana menyangka tentera Islam telah menang,ada diantara pasukan pemanah telah alpa pada perintah Rasulullah agar tidak meninggalkan tempat mereka kerana merebut harta ghanimah,akhirnya Khalid Al Walid telah berjaya mengucar-kacirkan tentera islam.Seperti yang kita ketahui tentera Islam terpaksa berundur ke arah suatu teluk di bukit Uhud bagi menyusun tindakan baru.Cara ini akhiranya berjaya menyelamatkan keadaan.

Marilah kita sama-sama ambil iktibar dari peristiwa Uhud agar kita sama-sama perkemaskan balik gerakan kita.Marilah kita sama-sama wala' pada arahan pimpinan selagi tidak bertentangan dengan syara'.Terimalah apa sahaja keputusan yang dibuat oleh jamaah dengan fikiran terbuka kerana jamaah tidak akan memutuskan apa-apa keputusan tanpa syura dan memikirkan baik dan buruk.Selain itu juga,kukuhkan ukhwah sesama kita kerana kekuatan ukhwah sesama kitalah yang memperkukuhkan jamaah yang kita dokongi ini.Insyaallah selagi jamaah ini berpegang pada Al-Quran dan Sunnah selagi itulah perjuangan yang kita dokongi mendapat mardhatillah.


No comments: