Saturday, September 20, 2008

BEDAH BUKU



Syabab Musafir Kasih
Karya: Fatimah Syarha


Karya Fatimah Syarha ni memang best.Aku memang dah teringin nak baca buku ni sejak aku duduk kat mesir lagi,alhamdulillah pulang saja ke Malaysia,aku berpeluang juga untuk menghabiskan buku ini.

Buku ini merupakan satu panduan dan modul bagi para pendakwah untuk berdakwah pada anak muda.Kak Fatimah memang seorang penulis berbakat untuk mencorakkan balik ilmu-ilmu agama dalam karya kreatifnya.Mungkin satu hari nanti kak Fatimah mampu menjadi seperti Pak Hamka yang merupakn seorang ulama dan penulis novel agama.

Di saat novel-novel popular yang bercorak cinta yang melalaikan para remaja,kehadiran buku ini di pasaran diharap mampu membentuk balik golongan remaja kembali pada Islam dan menjadikan Islam satu gaya hidup bukan agama ritual semata-mata.Karya seperti ini memang ditunggu-tunggu untuk membentuk balik generasi muda yang mampu membebaskan balik umat islam dari penjajahan minda seperti mana hasil karya sasterawa era 40-50 an yang mampu menyuntik semangat anak muda untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah British.

Buku ini mengisahkan seorang insan yang bernama Syabab,seorang anak yatim yang dibenci oleh orang kampung akhirnya menjadi seorang pendakwah yang berjaya menarik anak muda kampungnya kembali menurut ajaran Islam.Kisah Syabab ini seolah-olah merupakan satu kisah yang nyata yang bukan hanya sekadar angan-angan dan fantasi penulis.Kehidupan Syabab juga seolah-olah banyak dipengaruhi oleh sirah nabi-nabi terdahulu.Antaranya dalam novel ini digambarkan Syabab mengembala lembu sewaktu remaja,seolah-olah sirah nabi Muhammad S.A.W yang mengembala kambing.Selain itu di akhir novel ini Syabab memarahi sahbatnya,Imtiyaz kerana tidak mampu membimbing remaja kampung sewaktu pemergiannya ke Bumi Syam buat kali kedua,seolah-olah mengimbau balik sirah Nabi Musa dan Nabi Harun yang berlaku setelah Nabi Musa pulang dari menerima kitab Taurat,Bani Israel telah menyembah anak lembu sepermegiannya.

Selain itu juga penulis telah mengambarkan Nur Mumtazah yang telah bersusah payah mendidik dan membentu Syabab sejak dari kecil lagi untuk menjadi seorang daie pada masa akan datang.Dalam novel ini seolah-olah pada mulanya hanya Nur Mumtazah sahaja yang menyedari bakat terpendam yang ada dalam diri Syabab.Ini juga dapat memberikan pengajaran kepada seorang daie agar tidak memilih bulu dalam berdakwah dan perlu Istiqamah dalam gerak kerja dakwah.Akhirnya Nur Mumtazah telah menjadi tulang belakang dalam gerak kerja Syabab setelah kematian suaminya,seolah-olah mengimbau balik peranan yang dimainkan oleh Sayyidatina Khadijah dalam gerka kerja Nabi Muhammad S.A.W.

Penulis juga telah memasukkan elemen ilmu dalam novel ini,terutamanya sewaktu Syabab berada di bumi Syria.Pembaca akan dapat mengambarkan suasana majlis ilmu di bumi Syam dan dapat membawa diri pembaca berada sendiri dalam majlis Talaqqi bersama para Ulama di bumi Syam.Pengalaman yang ada pada Kak Fatimah di bumi Syria telah berupaya menghidupkan novel dengan gambaran yang lengkap mengenai bumi Syria.Selain itu juga penulis telah memberi nasihat kepada para daie agar bersatu dan berfikiran terbuka dalam menghadapi cabaran penjajahan minda dan keruntuhan akhlaq umat islam daripada terlalu berkeras dalam perkara furui'yah melalui kalam ulama di negeri Syam.

Bagi aku novel ini patut dimiliki oleh setiap pemuda- pemudi Islam kerana banyak menyentuh cabaran dan penyelesaian kepada keruntuhan semangat beragama dalam masyrakat hari ini.Para daie juga perlu menjadikan buku ini sebagai bacaan kerana watak dalam novel ini seolah-olah mampu menjadi satu model untuk para daie dalam menjalankan gerak kerja dakwah kepada masyarakat.



No comments: