Sunday, September 21, 2008

JEJAK PEJUANG 3

Tuan Guru Abdul Samad Noh:Pengasas Pas Perak Siri 2

Abdul Samad kembali ke Perak sekitar 1947 dan menjadi guru dibeberapa sekolah.Beliau mengajar di Madrasah Islahiah,Sungai Buyor.Oleh kerana itu beliau telah tersisih dari rakan-rakannya.Kebanyakan rakan beliau menyertai PKMM dan API kerana menentang penjajahan British,tetapi Abdul Samad telah menyertai Umno kerana dipelawa oleh Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab.

Ketika Hizbul Muslimin ditubuhkan pada 1948,beliau masih lagi menjadi ahli Bahagian Agama Umno.Walau bagaimanapun,pada 1949,beliau kembali ke kampong halamnnya di Padang Rengas untuk menghidupkan semula pondok di sana.Pembinaan Pondok Padang Rengas terbengkalai selepas Perang Dunia Kedua ekoran kematian Sheikh Junid Thola pada 1948.Beliau mendirikan pondok yang dinamakan Madrasah Yahyawiyah.

Madrasah Yahyawiyah berkembang pesat semenjak awal 1950-an sehingga menerima pelajar dari seluruh Negara termasuk dari Sabah,Sarawak,Singapura dan Brunei.Antara pelajar madrasah ini yang terkenal ialah Ustaz Hassan Shukri,bekas Timbalan Presiden Pas.Madrasah Yahyawiyah juga turut menjadi pusat gerakan sekolah-sekolah agama rakyat di Perak pada 1950-an terutama dalam perjuangan menuntut bantuan perkapita daripada kerajaan ketika Laporan Razak sedang disediakan pada 1956.

Abdul Samad juga telah mempelopori penubuhan Persatuan Guru-Guru Madrasah Agama Rakyat (PGMR) Perak dan beliau sendiri menjadi Yang Dipertuanya.Ketua Pemuda Pas,Ustaz Hassan Adli Mohd Arsyad dari Madrasah Al-Ulum As-Syari’yyah pula menjadi setiausaha PGMR.

Pendirian politik Abdul Samad terhadap Umno mulai berubah apabila parti itu menjalankan kegiatan haram seperti menganjurkan judi,loteri,kaberet danfunfair untuk mengisi dana bangunan Ibu Pejabat Umno.Para ulama dalam Bahagian Agama Umno telah bertindak menubuhkan PAS dan beliau sendiri turut menjadi ahli PAS semenjak 1951,tetapi tidak memegang apa-apa jawatan ketika itu.

No comments: