Tuesday, March 30, 2010

PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM 3

PENUBUHAN PAS

Terdapat beberapa faktor yang turut menyumbang kepada penubuhan PAS pada waktu itu dalam politik tanah air. Di antaranya ialah kerana keinginan pucuk pimpinan UMNO untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung. Umno menyedari bahawa alim ulama mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang melayu yang beragama Islam. Pada masa tersebut berlaku keretakan dikalangan pemimpin UMNO di antara penyokong Dato' Onn Jaafar dan penentangnya. Keretakan yang berlaku dalam UMNO turut mengheret pergeseran yang berlaku dikalangan ulama dalam UMNO walaupun dalam skala kecil. Ada yang secara terang menyokong Dato' Onn seperti Haji Ahmad Fuad dan sebaliknya ada pula yang mempersoalkan Dato' Onn. Senario inilah yang menyebabkan ada di antara tokoh-tokoh ulama yang mula berfikir bahawa golongan ulama patut memilih jalan sendiri dalam menentukan masa depan ummah dan agama di tanahairnya sendiri. Dalam suasana inilah menjadi latar belakang kepada persidangan alim ulama yang ketiga di Butterworth yang telah melahirkan PAS

Walaupun terdapat kecenderungan dikalangan ulama yang ahdir untuk memisahkan diri daripada anggapan bahawa kegiatan alim ulama daripada menjadi satelit UMNO, tetapi pengaruh kepada persidangan itu tidak dapat dielakkan. Ini kerana tenaga-tenaga penting persidangan adalah 'orang kuat' UMNO seprti Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki malah tempat persidangan itu berlangsung adalah tempat di mana aktiviti-aktiviti UMNO dijalankan. Persidangan ini agak berbeza dengan persidangan ulama sebelumnya apabila turut dibuka kepada badan-badan Islam yang lain seperti Lembaga Pentadbiran Masjid-Masjid ( Jamaah Masjid Telaga Ayer Butterworth ), wakil Maahad Ehya As-Sharif dan persatuan Ehya As-Sharif. Persidangan itu telah bersetuju dengan suara majoriti untuk meletakkan nama Persatuan Islam Se Malaya sebagai nama badan siasah yang hendak ditubuhkan itu atau ringkasan PAS.

Selain membincangkan soal nama pertubuhan, perwakilan juga turut membahaskan rangka perlembagaan persatuan baru itu. Pada malamnya perwakilan telah memilih pemegang-pemegang jawatan. Terdapat beberapa nama yang dicadangkan untuk jawatan presiden parti tetapi ramai yang telah menarik diri kecuali Tuan Haji Ahmad Fuad dan Syeikh Abdullah Fahim. Pemilihan presiden dibuat secara undian dan kelebihan kepada Haji Ahmad Fuad. Ahli Jawatankuasa Lain seperti :
  1. Haji Mohamad Ghazali Abdullah ( Timb. Presiden )
  2. Haji Husain Che Dol ( Naib Presiden )
  3. Faqeh Mohd Nor ( Naib Presiden )
  4. Abdul Rahman Jamaluddin ( Naib Presiden )
  5. Haji Ahmad Maliki ( Setiausaha )
  6. Haji Ahmad Tuan Husain ( Bendahari )
  7. Haji Yahya Junaid - Kedah ( AJK )
  8. Haji Osman Talib - NS ( AJK )
  9. Haji Mohamad Nor - KL ( AJK )
  10. Haji Zabidi Ali - Penang ( AJK )
  11. Haji Abdul Wahab - KL ( AJK )
  12. Haji As'iya - Perak ( AJK )
  13. Mohd Majzub - NS ( AJK )
  14. Haji Ahmad Badawi - Seberang Perai ( AJK ) .
Parti ini juga telah memilih ucapan salam sebagai cogan kata parti yang melambangkan ikatan ukhwah islamiyyah di kalangan ahlinya. Kewujudan Pas telah memberikan satu runang kepada ahli-ahli Hizbul Muslimin untuk berpartisipasi dengannya, apatah lagi terdapat ramai dikalangan bekas pemimpin Hizbul Muslimin turut serta menganggotai parti tersebut seperti khaidir Khatib,Othman Hamzah dan baharuddin Latif


P/S : dipetik dari buku Pengaruh Pemikiran IM terhadap PAS karya ridhuan mohd nor


Sunday, March 28, 2010

PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM 2

SEJARAH PENUBUHAN PARTI ISLAM SE MALAYSIA 1

Sejarah penubuhan PAS adalah sinonim dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin yang telah diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. Hizbul Muslimin ditubuhkan di Gunung Semanggol, Perak dengan nasihat daripada tokoh-tokoh politik seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi dan kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Islam ( Masyumi ). Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al- Baqir dan didokong oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama. Pertubuhan politik Islam ini mensasarkan 3 matlamat utama dalam perjuangannnya :
  1. Membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan
  2. Membentuk negara Islam yang bersifat sejagat
  3. Menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam
Seawal penubuhannya, Hizbul Muslimin diawasi dan diintip kegiatannya oleh unit risikan British. Hal ini terjadi kerana Britis sudah mempunyai pengalam bertembung dengan gerakan Islam yang anti penjajah seperti di Sudan,Mesir,Nigeria dan sebagainya. Pengawasan yang dilakukan oleh British terhadap Hizbul Muslimin adalah berdasarkan laporan unit risikan British sepertimana berikut :

The development of this movement should be very closely watched, for its preaches nationalism as the religious duty of all the believers, and Islam has been a militant creed. There can be no doubt that its propaganda is made to appeal to the young Malay intelectuals and progressives, since its strives to gives scriptural authority to their efforts to modernize their society and economy and to their undoubtedly aspirations towards national independence

British telah mendapat kesempatan yang baik untuk melumpuhkan gerakan ini apabila berlaku ancaman daripada anasir komunis yang melancarkan gerila untuk menumbangkan pentadbiran British di Tanah Melayu bagi menubuhkan republik rakyat komunis. Gerakan agresif Parti Komunis Malaya yang dipimpin oleh Chin Peng bertindak atas arahan resolusi Persidangan Komunis Asia yang bersidang di Calcutta, India. Kerajaan British telah mengisytiharkan darurat pada 18 Jun 1948 dan telah memperkenalkan Ordinan Darurat. Tindakan ini telah memberikan ruang yang luas kepada British untuk menahan sesiapa yang dianggap mengancam keselamatan negara. British telah mengharamkan parti-parti politik aliran kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ), Angkatan Pemuda Insaf ( API ), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS ) dan Hizbul Muslimin. Ustaz Abu Bakar Al Baqir dan sejumlah pimpinan Hizbul Muslimin turut ditahan di bawah ordinan tersebut.

Dalam tempoh awal zaman darurat ini, parti berhaluan kanan seperti UMNO diberi ruang yang luas untuk bergerak dan sebahagian ahli-ahli Hizbul Muslimin turut menganggotai Biro Agama UMNO bagi mengisi ruang perjuangan Islam yang ada dalam biro tersebut. Walaubagaimanapun suara-suara menuntut supaya diadakan sebuah pergerakan siasah berteraskan Islam mula kedengaran. Maka pada tanggal 24 November 1951 satu perhimpunan ulama, badan-badan dan pertubuhan Islam telah diadakan di perkarangan Kelab Melayu Bagan di Butterworth, Pulau Pinang. Dalam persidangan ini,suatu keputusan telah diambil bagi mewujudkan Parti Islam Se-Tanah Melayu yang mana telah mendapat sokongan kuat daripada perwakilan yang hadir pada hari tersebut.

P/S : dipetik dari buku Pengaruh Pemikiran IM terhadap PAS karya ridhuan mohd nor

Saturday, March 27, 2010

PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM 1

KENAPA AKU MENDOKONG PAS

Sudah lama blog ini dibiarkan bersawang tanpa diusik dek kerana kesibukan aku untuk mencoretkan pengalaman-pengalaman buat renungan sahabat-sahabat sekalian. Insyaallah aku akan cuba menghidupkan balik blog mujahid melayu ini dengan penerangan,sejarah dan pengalaman hidup berjuang bersama PAS.Tujuan aku hanya satu agar setiap dari kita menyedari bahawa perjuangan yang dibawa oleh Parti Islam Semalaysia bukan perjuangan sia-sia tapi semata-mata hendak menegakkan khilafah islam di tanah air Malaysia.

Hari ini ramai di antara sahabat-sahabat dan adik-adik yang tidak menyedari bahawa PAS adalah sebuah gerakan Islam bukannya parti politik semata-mata. Ada yang menyebut bahawa PAS tidak mempunyai tarbiah yang baik, ada yang menyebut bahawa perjuangan PAS tidak syarie kerana mendokong demokrasi yang merupakan agenda barat bagi meruntuhkan Islam. Ada juga yang merasakan bahawa perjuangan PAS adalah politik semata-mata dan perjuangan mereka bersama PAS kerana bencikan UMNO dan BN, ada juga yang menyebut bahawa PAS seolah-olah pengkhianat bangsa Melayu kerana bekerjasama dengan DAP parti cina dan PKR yang liberal.

Anggapan ini kerana mereka tidak mendalami sejarah perjuangan PAS, tidak merasai manisnya berjuang bersama PAS, dan hati mereka tidak bersama dengan denyut nadi perjuangan PAS kerana buruk sangka hati mereka. Siri tulisan ini akan cuba membuka balik pandangan minda kita semua untuk mengenali PAS dengan lebih lanjut dan bersama dengan perjuangan ini bagi meneruskan kesinambungan mata rantai perjuangan Islam dan Islah masyarakat untuk hidup bersama Islam.

Tulisan ini akan mempunyai beber
apa siri yang akan mendedahkan sejarah perjuangan dan penubuhan parti islam, matlamat perjuangan, siri-siri tarbiah dalam PAS, gerak kerja dan organisasi PAS serta pengalaman penulis sendiri sepanjang satu dekad bersama dengan PAS. Insyaallah semoga kita semua lebih mengenali PAS dan menetapkan hati kita untuk bersama dengan PAS sebagai wadah perjuangan Islam di Malaysia.

Siri tulisan ini akan ditulis berdasarkan artikel,pembacaan dan pengamatan penulis daripada tokoh gerakan PAS yang telah membuktikan komitmen gerak kerja dakwah mereka bersama dengan PAS. Tulisan ini juga ditujukan kepada adik-adik aku yang hingga ke hari ini tidak lagi menunjukkan komitmen mereka bersama dengan PAS semoga mereka boleh mengenali PAS dan menjadi pendokong yang mengambil jalan tarbiah dan gerak kerja dakwah PAS, kepada bakal isteriku semoga lebih mengenali komitmen diri ini dan menjadi sayap kanan perjuangan menyemarakkan lagi semangat diri ini di kala alpa, kepada sahabat-sahabat semoga boleh menjadikan diri mereka terus tsabat bersama PAS dan mewakafkan diri mereka untuk gerak kerja Islam ini dan kepada mana-mana pihak yang ingin mengenali PAS dengan lebih lanjut dan menjadi penyokong kepada gerakan ini.

Harapanku semoga semangat perjuangan yang ada dalam diri ini dapat menyalakan balik semarak perjuangan Islam dalam diri masyarakat tanah air, semoga aku dikurniakan hidayah dan taufiq dari Allah untuk mener
uskan siri-siri tulisan ini dan tulisan ini menjadi salah satu amalan yang diterima oleh Allah sebagai bekal di akhirat sana.