Thursday, March 19, 2009

ISTERI SEORANG PEJUANG

Beberapa hari berlalu (2.10.1997), perginya ke sisi Allah isteri Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Mustafa Masyhur. Jenazahnya diiringi oleh ribuan masyarakat Mesir dari setiap negeri menuju ke tempat persemadiannya yang terakhir di dunia ini dengan penuh kekaguman terhadap jihad dan kelebihan yang ada padanya.

Jika sekiranya para hukamak mengatakan "Sesungguhnya di belakang setiap lelaki yang hebat, ada wanita di belakangnya ", maka Almarhumah merupakan wanita yang berada dibelakang suaminya, membantu dan mendorong dari belakang, menyokongnya untuk terus bergerak dalam jalan Dakwah walau berdepan dengan ranjau dan duri.
Detik-detik jihad Almarhumah terlalu banyak. "Saudari akan menjadi isteriku yang kedua kerana aku telah berkahwin dengan isteriku yang pertama sebelum saudari. Aku amat mencintainya dan aku tidak sanggup untuk berpisah dengannya ". Almarhumah bertanya "Siapakah dia?". Ustaz Mursyid menjawab, " Dia adalah Dakwah di jalan Allah. Diharap saudari jangan cemburu kepadanya ". Almarhumah menjawab, "Dakwah tersebut adalah tuanku dan aku adalah khadamnya". Begitulah teguhnya janji yang diukir sehingga berlalu 51 tahun Almarhumah mengharungi masa tersebut bersama suaminya. Dakwah Ikhwan Muslimin adalah tuannya yang menyuruh, lalu dia mentaatinya. Dakwah berkata, dan dia patuh mendengar kata-kata tersebut.
Suaminya dipenjara selama 19 tahun, dalam tahun-tahun 50an, 60an dan awal 70an, tetapi Almarhumah tetap setia pada janjinya dan tsabat di atas Dakwah ini. Apabila Ustaz Mursyid mula dipenjara, dia meninggalkan 4 orang anak kecil kepada almarhumah untuk dibesarkan olehnya berseorangan diri. Mereka ialah Masyhur, Salwa, Wafak dan Sumayyah. Jadilah Almarhumah sebagai ibu dan ayah kepada mereka. Almarhumah mendidik mereka dengan baik. Apabila Ustaz Mustafa keluar dari penjara, dia mendapati mereka dalam keadaan sebaik-baik agama, ilmu dan akhlaq. Sangat berat hari-hari berlalu ketika suami dipenjara tetapi Almarhumah bersungguh-sungguh berusaha memastikan hari-hari itu indah lagi menggembirakan untuk anak-anak mereka.
Pernah mereka tidak dibenarkan menziarahi Ustaz Mursyid di penjara Wahaat selama 9 tahun lalu Almarhumah menghubungkan mereka dengan ayah mereka melalui surat pos. Almarhumah memegang pen di tangan-tangan kecil mereka menulis kalimat-kalimat tsabat dan dorongan kepada ayah yang sedang berada di belakang jaringan besi di penjara. Almarhumah menyanyikan untuk mereka " Nahnu nuhibbu baba, wa baba yuhibbuna " ( Kami sayangkan ayah, dan ayah sayangkan kami).Almarhumah membeli permainan dan hadiah dengan duit yang tersimpan agar dia menghadiahkan kepada mereka yang masih kecil dengan mengatakan " Baba arsala ilaikum hazihi hadaya" ( Ayah kirim hadiah-hadiah ini untuk kamu ).

Berlaku mehnah yang dikenali sebagai "Mehnah Takyid" ( Dugaan memberi sokongan kepada Presiden Jamal Abdul Nasir yang menghukum mereka, iaitu dengan menggunakan anak-anak Ikhwan yang dipenjara untuk memujuk ayah-ayah mereka menerima tawaran bebas dari penjara dengan syarat menulis beberapa perkataan atas kertas menyokong Jamal Nasir ; mehnah = dugaan, takyid = sokong ). Beberapa orang dari saudara mara Ustaz Mursyid menyuruh anak-anak perempuan beliau pergi ke penjara untuk memujuk ayah agar menulis sokongan dan balik ke rumah bersama mereka tetapi Almarhumah enggan dan memesan kepada anak-anak agar tidak menunjukkan jemu dan risau lantaran ketiadaan ayah yang panjang.Teruslah si ayah dalam penjara dengan tsabat dan teguh, menolak sebarang sokongan terhadap Sistem yang memenjarakannya.
Pernah apabila hari-hari raya menjelang tiba, Almarhumah tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian hari raya untuk anak-anak. Untuk menggembirakan mereka, beliau menurunkan beberapa kain langsir rumah untuk dibuat pakaian raya. Pernah juga sarung kusyen kerusi dan sofa dijahitnya menjadi baju anak-anak. Almarhumah menanamkan kedalam jiwa anak-anak perasaan theqah kepada Allah, meneguhkan hati mereka dengan rasa bangga terhadap tugas ayah dalam menyampaikan risalah Dakwah. Beliau menjadikan anak-anak merasakan bahawa ayah mereka adalah seorang mujahid, dipenjara kepada aqidahnya dan patut mereka berbangga dan menceritakan perkara ini kepada kawan-kawan yang lain.
Apabila Ustaz Mursyid keluar dari penjara, Almarhumah menyambung perjalanannya bersama Mursyid, mencurahkan pengorbanan. Ustaz Mursyid yang sentiasa pergi ke merata tempat dalam dan luar Mesir berdakwah di jalan Allah. Waktu di rumah sangat sedikit, namun Almarhumah tetap redha dan tenang. Bahkan di hari-hari yang kebiasaannya ahli keluarga berkumpul seperti berbuka di bulan Ramadhan, beliau berkorban haknya untuk diberikan kepada anak-anak dakwah lain yang mengundang si suami. Almarhumah berkongsi perasaan dan prihatin suami terhadap anak-anak dakwah di mana sahaja mereka berada, dalam atau luar negeri, bertanyakan keadaan keluarga dan anak-anak mereka dan sering mendoakan untuk mereka. Almarhumah kuat berpuasa, qiamullail, berbudi luhur dan sentiasa berharap kebaikan kepada manusia - semua manusia. Sejak bertahun-tahun Almarhumah tidak ketinggalan bersama suaminya berqiamullail. Beliau memastikan bahagian akhir malam untuknya dan suaminya, bersama Allah, bermunajat dan berdoa kepadaNya agar dia menemuiNya dalam keadaan dia redha lagi diredhai olehNya.
Semoga Allah mengampuninya, melimpahi rahmat ke atasnya dan mengurniakan kesabaran ke atas suami, anak-anak dan mereka yang mencintainya. Kita tidak mengatakan sesuatu melainkan yang diredhai oleh Allah : Inna lillahi wa inna ilaihi raajiuun (Kita dari Allah, dan kepadaNya kita akan kembali).